KENALI UBAT ANDA

KENALI UBAT ANDA (KUA)
Pengenalan
Kempen "Kenali Ubat Anda" ialah projek anjuran bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA). Ianya diadakan kerana terdapatnya penggunaan ubat secara tidak rasional di kalangan rakyat dan perkara ini bukan sahaja membahayakan kesihatan awam, malahan membawa kesan sampingan yang kurang baik terhadap ekonomi. Kempen ini telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan YB Dato' Chua Soi Lek di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Melaka pada 29 Jun 2007. Kini kempen ini diteruskan di semua fasiliti farmasi di Hospital, Klinik Kesihatan dan Cawangan Penguatkuasa Negeri-negeri bagi memastikan mesej kempen ini sampai kepada golongan sasaran.
Objektif
Objektif kempen ini adalah untuk:
  • meningkatkan kesedaran pengguna dalam penggunaan ubat secara rasional
  • menyediakan pengguna dengan maklumat yang berkaitan kesihatan dan ubat melalui pelbagai isu
  • memastikan pengguna mengetahui ubat yang diambil, apa yang sepatut dan tidak patut diambil dan sebabnya
  • meningkatkan pelaporan kesan sampingan ubat melalui pendidikan pesakit
  • meningkatkan ilmu pengetahuan dalam penggunaan ubat oleh ibu mengandung, ibu yang menyusu anak-anak dan kanak-kanak
  • membantu warga emas dalam penggunaan ubat
Kumpulan sasaran
Kepada semua pengguna yang prihatin tentang kesihatan mereka dan kesihatan orang yang dikasihi. 
Facebook Kenali Ubat Anda PKDKT
Untuk mengetahui aktiviti terkini KUA yang dijalankan di daerah Kota Tinggi, sila lawati Facebook Kenali Ubat Anda PKDKT di https://www.facebook.com/kenaliubatanda.pkdkt
DUTA Kenali Ubat Anda
Duta KUA dilantik terdiri daripada individu berpengaruh dalam masyarakat seperti penghulu, ketua kampung, wakil persatuan penduduk dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka telah dilatih berkenaan ubat-ubatan agar informasi mengenai penggunaan ubat yang betul dapat disampaikan kepada masyarakat dengan berkesan. Di daerah Kota Tinggi terdapat 2 orang Duta KUA yang telah dilantik iaitu Encik Fairulnizar bin Rahmat (Panel Kesihatan KK Bandar Penawar) dan Tuan Haji Mohd Ali bin Hussain (Panel Kesihatan KK Bandar Mas).
Apakah itu ubat?
Ubat adalah bahan kimia yang digunakan untuk rawatan, pencegahan dan diagnosis penyakit. Terdapat banyak jenis ubat-ubatan yang boleh didapati dari klinik, kedai farmasi dan pasaraya. Sekiranya ubat diguna seperti diarahkan, ini dapat merawat atau mengawal penyakit anda.  Sumber dari kajian-kajian yang telah dijalankan menunjukkan seramai 50% daripada pesakit tidak mengambil ubat dengan betul.

Ubat dibahagikan kepada:
Ubat Am (over the counter)
Boleh dibeli tanpa preskripsi di kedai farmasi/ kedai biasa. Contoh: vitamin, ubat demam.
Ubat terkawal:
Ubat terkawal dengan preskripsi
Boleh diperoleh hanya melalui doktor/ ahli farmasi. Contoh: ubat darah tinggi, antibiotik.
Ubat terkawal tanpa preskripsi
Boleh diperoleh daripada ahli farmasi. Contoh: krim, ubat batuk, ubat selsema.
Mengikut Akta Racun 1952 Seksyen 2 dan 19, semua ubat terkawa; hanya boleh diperoleh terus daripada doktor dan ahli farmasi yang berdaftar. Preskripsi merupakan arahan bertulis berkaitan ubat daripada doktor.
Amalkan konsep 5B
1)      Pengguna yang betul
2)      Ubat yang betul
3)      Dos yang betul
4)      Cara pengambilan yang betul
5)      Masa pengambilan ubat yang betul
8 hak anda sebagai pengguna
  • Hak untuk mendapat keperluan asas

Adalah menjadi hak individu untuk mendapatkan keperluan ubat-ubatan secara adil untuk keishtan dan kesejahteraan hidup.
  • Hak untuk mendapat maklumat

Pengguna mempunyai hak untuk menerima maklumat yang tepat dan mencukupi mengenai ubat-ubatan yang diambil.
  •   Hak untuk membuat pilihan

Pengguna berhak memilih ubat dan produk kesihatan yang berkualiti dan selamat.
  •     Hak untuk mendapat jaminan keselamatan

Pengguna berhak menerima ubat yang selamat digunakan
  • Hak untuk mendapat gantirugi

Pengguna berhak mendapat ganti rugi dan pampasan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini akibat kesilapan dalam pengubatan
  • Hak untuk bersuara

Hak untuk bersuara membolehkan pengguna menyalurkan pendapat dan aduan melalui saluran yang betul seperti Tribunal Pengguna.
  • Hak untuk mendapat persekitaran yang bersih & selamat

Ubat perlu dibuang mengikut prosedur yang betul supaya persekitaran yang berkualiti dan selamat kepada pengguna dapat diwujudkan.
  • Hak untuk mendapat pendidikan pengguna

Pendidikan pengguna memberik kuasa kepada pengguna untuk mempraktikkan hak-hak pengguna.
Adakah ubat anda tulen? Atau tiruan?
Pastikan ubat mempunyai:
  •  Nombor pendaftaran

8 digit nombor pendaftaran diikuti dengan abjad, contoh:
MAL12345678X Ubat OTC ditanda huruf “X
MAL23456789A Ubat terkawal ditanda huruf “A
MAL34567891T Ubat tradisional ditanda huruf “T
MAL12345678N Ubat supplemen kesihatan ditanda huruf “N
Label hologram Meditag™
Semua ubat perlu mempunyai hologram meditag yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
(Ketulenan hologram Meditag™ boleh disahkan melalui alat DEKODER HOLOGRAM MEDITAG™ yang terdapat di kedai farmasi)



No comments:

Post a Comment